Wednesday, December 9, 2009

Selepas Setahun, Tragedi Bukit Antarabangsa Tetap Diingati


Tragedi Bukit Antarabangsa Disember tahun 2008

KUALA LUMPUR: Hassan Saad tidak mungkin melupakan peristiwa jam 4 pagi 6 Disember tahun lepas apabila bumi tiba-tiba bergerak, dan secara tiba-tiba beliau sekeluarga tidak lagi boleh mendiami rumah kesayangan mereka di Bukit Antarabangsa di sini. "Sampai bila-bila pun kami takkan lupa. Rasanya seperti baru semalam peristiwa itu berlaku," kata Hassan, 51, mangsa tragedi tanah runtuh yang mengakibatkan 14 rumah jirannya ranap dan lima orang terkorban.

Semalam, genap setahun kejadian itu berlaku, namum bagi Hassan serta penduduk lain, mereka masih berada dalam keadaan trauma. Lebih 260 keluarga yang terperangkap di kawasan itu diarah keluar dan mencari penginapan sementara.

"Cukuplah sekali. Pihak berkuasa perlu pandang serius dan ambil langkah sewajarnya tangani perkara ini... jika tidak peristiwa ini boleh berulang," kata Hassan yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin ketika melawat tempat kejadian

Sementara itu, laporan siasatan mengenai kejadian itu yang telah diubah status daripada kalisifaksi "rahsia" dijangka dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) esok.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan yang mengalami runtuhan telah dibaik pulih dan jalan utama untuk masuk ke taman-taman perumahan itu juga telah ditar semula.

Menurut Hassan, adalah penting masyarakat juga didedahkan dengan pengetahuan berkaitan cerun.

"Jika dilihat pada keadaan sekarang, ramai yang menetap di kawasan kediaman berhampiran dengan cerun atau di atas bukit. Jadi pihak yang berkenaan sepatutnya menganjurkan program yang boleh membantu penduduk mengetahui mengenai cerun.

"Jika terjadi sesuatu, mereka tahu bagaimana mahu bertindak," katanya yang kini menyewa di kawasan perumahan berdekatan apabila rumahnya yang terletak di Taman Bukit Mewah turut mengalami kerosakan ekoran tanah runtuh berkenaan.

Bekas wartawan Radio24, Rahayu Nordin berkata beliau mengambil masa hampir sebulan untuk menghilangkan trauma yang dialaminya berikutan tragedi itu.

Bukit Antarabangsa selepas kejadian tanah runtuh

"Sebagai reporter untuk Radio24 Bernama ketika itu, saya juga terpaksa buat reporting dari rumah dengan melaporkan apa yang berlaku walaupun ketika itu terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik yang terputus," katanya yang masih menginap di perumahan yang sama iaitu Kondominium Sinar Ukay.

"Sekalung terima kasih kepada pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba dan beberapa pasukan keselamatan lain yang banyak membantu penduduk ketika kejadian itu.

"Saya bersimpati terhadap mereka yang telah kehilangan insan tersayang. Saya berharap peristiwa ini tidak akan berulang lagi agar tiada lagi nyawa yang terkorban selepas ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa, Datuk N. Muneandy berkata penduduk berhak untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu terjadi dan lebihlebih lagi mengenai keselamatan kawasan itu.

Katanya, pelbagai masalah timbul apabila tiada maklumat dikeluarkan berhubung keselamatan kawasan itu, terutama bagi mereka yang menyewa dan juga penyewa. BERNAMA

No comments:

KENAIKAN HARGA EMAS 1 TAHUN

one year gold price chart
1 Year Gold Price Chart

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"ALLAH JADIKAN DUA LOGAM YANG BERNILAI (EMAS DAN PERAK) SEBAGAI PENGUKUR KEPADA BARANGAN DAGANGAN. LOGAM INI SERINGKALI DIJADIKAN UKURAN KEKAYAAN SESEORANG. WALAUPUN ADAKALANYA BARANGAN DAGANGAN LAIN TURUT MENYIMPAN NILAI YANG TERSENDIRI, AKHIRNYA IA AKAN DIGUNAKAN UNTUK MENDAPATKAN EMAS DAN PERAK. BARANGAN DAGANGAN LAIN TERKESAN AKIBAT TURUN NAIK PASARAN, SEDANGKAN EMAS DAN PERAK TIDAK." - Ibnu Khaldun -

Total Pelayar Blog Ini

code goes here

Total Pageviews